
Hutang piutang dapat memberikan banyak manfaat kepada kedua belah pihak (pemberi hutang dan yang berhutang). Hutang piutang merupakan perbuatan saling tolong menolong antara umat manusia yang sangat dianjurkan oleh Allah SWT selama tolong-menolong dalam kebajikan. Hutang piutang dapat mengurangi kesulitan orang lain yang sedang dirundung masalah serta dapat memperkuat tali persaudaraan sesama manusia. Hukum berhutang bersifat fleksibel bergantung kepada situasi dan perjanjian antara dua pihak. Secara umumnya hukum pinjam-meminjam adalah sunat bila dalam keadaan normal. Hukumnya haram jika meminjamkan wang untuk tujuan berbuat kejahatan seperti berjudi, melacur, dan sebagainya. Manakala, hukumnya wajib jika memberi pinjam kepada orang yang sangat memerlukan seperti jiran yang anaknya sedang sakit tenat dan memerlukan wang untuk membeli ubat. Walau bagaimanapun, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang sekiranya tidak mampu untuk membayar semula. Ini kerana salah satu kesan yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan dan ahli-ahli waris tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati. Mengikut sebuah hadis Nabi SAW bahawa orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya tidak akan sampai naik ke langit, ia hanya akan terapung-apung di antara langit dan bumi, sedangkan roh orang mukmin yang lain dapat naik ke langit untuk kembali ke tempat asalnya sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan. ’’ (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).
-
Video
-
Dokumen